Pengeluar kasut Vern Holdings Sdn Bhd menjelaskan rekaan logo pada tapak kasut keluaran syarikat itu yang mencetuskan kontroversi telah disalah tafsir.
Ini selepas logo pada tapak kasut tumit tinggi salah satu produk keluaran syarikat itu diidakwa menyerupai kalimah Allah.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata logo itu tidak bertujuan untuk menghina mana-mana agama atau kepercayaan.
“Untuk pengetahuan semua, logo ini 100 peratus diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi, seperti yang tertera di gambar yang dilampirkan.
“Bagaimanapun, kami akui terdapat kekurangan pada rekaan logo tersebut yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak,” kata Vern dalam satu kenyataan.
Vern berkata pihaknya telah mengambil langkah segera menghentikan penjualan kasut dan logo berkenaan serta bersedia untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut.
“Dengan rasa rendah diri, kami pihak pengurusan ingin memohon kemaafan semua dan mengharapkan belas ihsan untuk diberikan ruang memperbaiki kesilapan yang telah berlaku,” kata Vern.
“Ini adalah pengajaran yang sangat bernilai untuk kami memperhalusi dan lebih teliti dalam setiap keputusan yang diambil bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan,” tambahnya.