Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa wacana yang positif harus diangkat dan tidak sepatutnya disalah tafsirkan atau dikritik secara melampau, terutamanya dalam konteks ayat al-Quran yang semakin menjadi perbualan di media sosial.
Melalui catatan di aplikasi X, Anwar menyentuh tentang satu majlis yang melibatkan penjawat awam di mana beliau mengingatkan tentang nilai dan akhlak penting dalam menjalankan tugas, amanah, dan tanggungjawab, dengan mengaitkannya dengan kisah tujuh pemuda Ashabul Kahfi.
“Saya kaitkan kisah tujuh pemuda Ashabul Kahfi seperti dalam ayat al-Quran surah Al Kahfi di mana pada masa itu sistem dan kerajaan serta raja yang zalim itu menyembah berhala, ditolak orang beriman termasuk tujuh pemuda ini yang kemudian berlindung di sebuah gua.
“Mesejnya adalah keteguhan dan kekentalan iman pemuda itu yang membentengi kepada amalan syirik dan kebejatan, justeru adalah wajar agar penjawat awam mengambil iktibar daripada kisah tersebut,” katanya.
Namun, Anwar berkata pandangan beliau telah disalah tafsir dan mengakibatkan ada yang mencemuh dan mencaci pihak tertentu termasuk pendakwah dan ulama, yang disifatkannya sebagai keterlaluan dan tidak wajar.
Dalam rakaman video yang dikongsi bersama hantaran itu, Anwar berkata tujuannya menyampaikan mesej tersebut kepada penjawat awam adalah untuk mengingatkan mereka bahawa di sebalik kemajuan ekonomi, pembangunan, dan pengurusan, nilai-nilai penting seperti keimanan dan akhlak perlu diutamakan.
“Sebab itu bila saya diangkat sebagai Perdana Menteri, antara buku yang pertama didistribusikan secara meluas yang saya rujuk kepada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) ialah karya Almarhum Sheikh Dr Taha Jabir al-Alwani berjudul Adabul Ikhtilaf Fil Islam, mengenai adab berbeza pendapat dalam Islam.
“Mencemuh, melaknat, dan fitnah orang dengan fakta yang tidak benar disebabkan oleh pengekalan kita bukan kepada Islam tetapi kepada parti politik hingga orang yang tidak sependapat dianggap sebagai musuh. Itulah mengapa saya meminta agar karya tersebut dibaca kerana terdapat kaedah-kaedah dalam berbeza pendapat,” katanya.
Oleh itu, Anwar menyatakan bahawa langkah memperkenalkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi kepada pelajar Islam di sekolah mulai tahun depan bertujuan untuk meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap Islam.
– Bernama