Kakitangan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul kadir Jilani mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengarah Bahagian Latihan dan Pendidikan J-KOM, Hakim Ramlee dan ahli jawatankuasa penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.
Peguamnya, Faizal Rahman berkata kedua-dua individu terbabit diberi tempoh 48 jam bagi menjawab surat tuntutan saman terbabit.
“Beberapa perkara (berhubung tuntutan saman Abdul Wahab) antaranya (tuntutan) permohonan maaf dan ganti rugi dan masa diberikan 48 jam untuk kedua-dua mereka menjawab tuntutan yang dikemukakan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Bagaimanapun, Faizal tidak memaklumkan jumlah ganti rugi yang dituntut oleh anak guamnya.
Faizal berkata demikian mengulas surat tuntutan yang dikemukakan Abdul Wahab hari ini.
Terdahulu, memetik laporan media Abdul Wahab mengemukakan tuntutan saman berhubung penularan video perbualan lucah individu mirip bekas Ketua Pengarah J-KOM, Mohammad Agus Yusoff dan dirinya.
Video berkenaan tular sejak 17 November lalu dan menjadi topik hangat di media sosial.
Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM, namun mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.
Pada sidang media khas berhubung isu itu, Abdul Wahab mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Mr H.