Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail menasihatkan bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker supaya tidak cuba “memercikkan api perkauman”.
Wan Rosdy dipercayai merujuk kenyataan yang dibuat senator itu ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Negara minggu lalu yang disifatkannya sebagai “sengaja mencari masalah”.
“Tidak pasti sama ada luka masih berdarah melihat keakraban kerajaan perpaduan, atau sengaja nak cari nama atau publisiti di âhujung nyawaâ politiknya.
“Kunci terhadap Malaysia yang lebih berpadu dan harmoni adalah orang Melayu harus kuat dan stabil baik dari sudut politik mahupun ekonomi.
“Sejarah telah membuktikan jika agenda dan kepentingan Melayu terkebelakang, maka kestabilan sosiopolitik dan sosioekonomi negara juga turut akan terjejas keseluruhannya,” kata Menteri besar Pahang itu dalam kenyataan, semalam.
Semasa membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Negara pada Isnin lalu, Ti meminta agar penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera dihentikan dan mencadangkan ia digantikan dengan kongres ekonomi yang lebih menguntungkan keseluruhan rakyat.
Bekas Menteri belia dan sukan itu berkata, sudah tiba masa penganjuran kongres itu tidak lagi ditunggang bagi meraih keuntungan politik atau dijadikan sebagai platform pihak berkepentingan mengambil kesempatan.
Katanya, ia bukan untuk menafikan hak orang Melayu tetapi setelah lebih 50 tahun, negara masih lagi mengadakan majlis Kongres Ekonomi Bumiputera yang disifatkannya gagal mencapai matlamat.
Kenyataan itu turut mengundang kritikan Ketua Pemuda Umno Muhamad Akmal Salleh yang menyifatkan Ti cuba memainkan isu perkauman demi kepentingan politik.
Dalam pada itu, Wan Rosdy mengingatkan Ti berhubung pelbagai kongres dan perbincangan dianjurkan persatuan dan NGO masyarakat Cina berkaitan ekonomi.
“Tidak ada halangan untuk mana-mana kaum pun di Malaysia ini mengadakan kongres seperti ini.
“Malah saya sebagai Menteri besar Pahang juga ada beri sumbangan khas kerajaan Negeri kepada persatuan ini,” katanya lagi.