Seorang hadirin Program Setahun Bersama Kerajaan Madani mendapat sebuah pangsapuri baru selepas diumumkan sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah hari ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Nurain Shira Azaulmay sebagai pemenang selepas mencabut nombor cabutan bertuah, di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Bagaimanapun wanita berusia 26 tahun itu tidak ada untuk menerima sendiri hadiah tersebut.
Pengarah Eksekutif Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu) Ahmad Jefry Aziz @ Adan menerimanya bagi pihak Nurain. Nurain akan dihubungi sekretariat program kemudian.
Pangsapuri tersebut adalah di bawah program Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan terletak di Bandar Bukit Mahkota di Kajang, Selangor.
Pangsapuri bernilai RM260,000 itu memiliki keluasan 1,000 kaki persegi dan dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.
Dalam perkembangan lain, Bernama melaporkan sebanyak 37,242 saman trafik dijelaskan ketika program tiga hari itu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dilaporkan berkata seramai 12,300 pesalah trafik telah menjelaskan saman di 14 kaunter yang disediakan serta melalui baucar diskaun di aplikasi dan portal MyBayar Saman.