Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengalu-alukan sokongan Ahli Parlimen Tanjong Karang Zulkafperi Hanapi kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Malah, Presiden Umno itu berkata lebih ramai yang menyokong kepimpinan kerajaan Perpaduan hari ini adalah lebih baik.
âSaya fikir lebih ramai, lebih baik. Semakin banyak mendokong perdana Menteri semakin kuat kerajaan Madani ada dan kini kerajaan Madani ada 153 dokongan ahli parlimen.
âDengan jumlah yang ada sekarang ia sudah melebihi dua pertiga (anggota Dewan Rakyat).
“153 ahli parlimen adalah jumlah cukup baik,â katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja ke Angkatan Pertahanan Awam Malaysia di Kajang, Selangor, hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian mengulas tindakan Zulkafperi isytihar sokongan kepada perdana Menteri hari ini.
Mengulas lanjut, Zahid berkata tindakan Zulkafperi itu juga hak ahli parlimen secara individu.
âDan jika ada usaha untuk mana-mana individu atau tokoh (politik) masuk rumah politik melalui tingkap, saya fikir eloklah mereka dikeluarkan melalui tingkap itu juga,â tambahnya.
Zulkafperi menjadi wakil rakyat pembangkang terbaru yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar Ibrahim.
Zulkafperi menjelaskan keputusannya itu bertujuan memastikan nasib dan pembangunan penduduk di parlimen yang diwakilinya terus terbela.
Bagaimanapun, Zulkafperi menegaskan dia masih setia kepada partinya Bersatu.
Sebelum ini, lima ahli parlimen Bersatu telah mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar, iaitu Syed Abu Hussin Hafiz (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) serta Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Syed Abu Hussin pada 11 Disember tahun lalu mendakwa tujuh hingga lapan lagi ahli parlimenpembangkang akan menyatakan sokongan mereka terhadap perdana Menteri.
Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan sama ada ahli parlimen terbabit adalah dari Bersatu atau PAS yang menerajui pakatan PN ketika ini.