Bersih menerima reaksi ‘nakal’ ketika pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno, awal bulan ini.
“Reaksi-reaksi agak nakal adalah (dalam pertemuan itu).
“Contohnya Ahmad Zahid kata sejauh mana Bersih itu Bersih?
“Jadi jawapan saya 100 peratus Bersih,” kata Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini baru-baru ini.
Pertemuan itu, katanya, berlangsung di parlimen beberapa hari selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hujung bulan lalu sebagai rangka melobi kempen tuntutan “reformasi 100 peratus” mereka.
Antara tuntutan terpenting mereka ialah penangguhan pemberian pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) kepada pihak yang dituduh di mahkamah, yang turut diperoleh Zahid dalam pertuduhan rasuah sebelum ini.
Bukan saja membantah keras, Bersih malah menganjurkan siri flash mob dan demonstrasi di ibu negara.
Bagaimanapun dalam pertemuan itu, katanya, isu DNAA tidak berbangkit dan Zahid
menyatakan sokongan terhadap kempen Bersih secara umum.
Katanya, masa juga suntuk untuk mereka membangkitkan suatu tuntutan secara khusus.
Menurut Faisal, Zahid secara prinsip bersetuju dengan beberapa agenda yang dibawa oleh badan pemantau pilihan raya itu, khususnya berhubung pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya.
“Pengasingan kuasa memang ada jelas dalam manifesto BN. Itu sebab Ahmad Zahid sebagai pengerusi Umno dan BN secara prinsip bersetuju.
“Walau kita kata ini kerajaan perpaduan, kalau kita tengok manifesto mengasing bidang kuasa tiada isu kerana ada dalam dua-dua manifesto PH dan BN.
“Jadi Insya-Allah saya yakin takda isu tidak dipersetujui parti komponen malah kalau dibentang di parlimen sekalipun mungkin semua setuju,” katanya .
Ketika era pemerintah BN, Bersih dilihat sebagai musuh kerajaan kerana menjadi kumpulan pendesak terhadap pentadbiran kerajaan pimpinan bekas perdana Menteri Najib Razak melalui demonstrasi mega di ibu negara.
Ketika itu Bersih bawah kepimpinan bekas pengerusi Majlis Peguam S Ambiga dan Sasterawan Negara A Samad Said.
Sementara itu, Faisal juga mendedahkan mereka turut bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said serta beberapa anggota parlimen lain.
Pada 8 Sep tahun lalu, Anwar berkata, syor pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya sudah dibawa ke jawatankuasa pilihan khas parlimen untuk penelitian lanjut.
Anwar berkata satu kertas kerja sudah dibentangkan di kabinet beberapa bulan lalu, sebagai proses bagi memperoleh sokongan syor berkenaan.
Untuk itu, katanya, prosesnya memerlukan masa panjang selain menelan kos yang tinggi.
‘Tiada ubat untuk hati yang tersakiti’
Sementara itu, ditanya mengenai persepsi bahawa Bersih dibayangi Anwar, Faisal berkata dia tidak boleh menolak salah tanggapan sesetengah pihak kepada badan itu.
“Kalau orang benci kepada Bersih minta maaf, saya tiada ubat untuk hati tersakiti,” katanya
“Kita buat apa pun–demonstrasi, bukan demonstrasi, perarakan, bertemu PM tak bertemu PM, kita bertemu pembangkang atau tidak, kita Bersih tiada ada ubat (untuk itu).”
Faisal tidak menolak kemungkinan salah tanggapan itu wujud kerana dia sebelum ini merupakan bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan kebetulan Anwar juga pernah memimpin gerakan itu.
Faisal adalah presiden Abim ke-10 manakala Anwar adalah pemimpin keduanya, sekali gus paling terkenal dalam sejarah pertubuhan Islam itu.