Selepas berbulan-bulan menunggu dengan penuh keghairahan, pertarungan tinju yang dinanti-nantikan antara jutawan Mark Zuckerberg dan Elon Musk dijangka tidak akan berlaku, laporan United Press International (UPI).
Melalui platform media sosial barunya, Meta Threads, pada Sabtu, Zuckerberg menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk mengabaikan pertarungan itu. Pemilik Meta ini telah kerap berkongsi foto dan video latihannya sejak beberapa bulan yang lalu.
“Saya rasa kita semua boleh bersetuju bahawa Elon tidak serius dan sudah tiba masanya untuk melupakannya. Jika Elon benar-benar serius mengenai pertarungan itu…dia tahu cara untuk menghubungi saya,” kata Zuckerberg.
Zuckerberg juga menyatakan bahawa pemilik UFC, Dana White, telah bersetuju untuk menjadikan pertarungan ini sebagai acara rasmi dan akan menyumbangkan hasil kutipan pertarungan itu kepada tujuan amal, tetapi Musk belum mengesahkan tarikhnya.
Beliau juga mengatakan bahawa Musk mencadangkan agar mereka berlatih di belakang rumah Zuckerberg.
Hantaran Zuckerberg ini dibuat seminggu selepas Musk mendakwa bahawa pertarungan itu akan disiarkan secara tertutup di X (dahulunya Twitter).
Dalam hantaran di Twitter pada Jumaat, Musk menyatakan bahawa pertarungan akan diuruskan oleh yayasan Zuckerberg dan bukan UFC.
“Pertarungan ini akan diuruskan oleh yayasan saya dan Zuck (bukan UFC). Penyiaran langsung akan dilakukan di platform ini dan Meta. Ia akan menjadi seperti pertarungan dalam zaman Rom Purba. Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri Itali dan Menteri Kebudayaan. Mereka bersetuju mengenai lokasi yang epik ini,” kata Musk dalam ciapannya.
Musk menyatakan bahawa acara ini akan menghormati masa kini dan masa lalu Itali.
-Bernama